Tafsiran berkenaan mimpi berak atau mimpi buang air besar ini sebenarnya ada pelbagai maksud tersirat bergantung kepada situasi dan orang yang bermimpi.
Perlakuan membuang air besar selalunya dikaitkan dengan tahi. Dan tahi, menurut satu pendapat diertikan pula sebagai rezeki yang diperolehi daripada penganiayaan. Namun, ada pula yang menyatakan sebagai petanda kelapangan.
Secara asasnya, dikatakan bahawa orang yang bermimpi buang air besar itu bererti kesusahannya akan hilang. Jika dia yakni orang yang bermimpi itu adalah seorang yang banyak harta, bermakna itu kemungkinan besar dia akan mengeluarkan zakat hartanya.
Dikatakan pula bahawa orang yang bermimpi tahinya banyak sedangkan dia sedang dalam suatu perjalanan (musafir), besar kemungkinan itu petanda dia tidak akan sampai ke destinasi mengikut perancangan awalnya.
Dalam sesetengah masyarakat dan tempat, terdapat pandangan berbeza. Dalam satu forum perbincangan ada disebutkan bahawa bagi masyarakat Jawa, mimpi buang air besar itu tandanya akan kehilangan sesuatu yang berharga. Pandangan ini pastinya berdasarkan pengalaman orang-orang terdahulu dan ianya pandangan umum yang tak semestinya bertepatan dengan setiap individu.